WAWASAN PAS UNTUK SIBUTI

PAS Sarawak melalui calon rakyat, Saudara Robby Tandang amat sedar tentang permasalahan rakyat yang membelenggu penduduk di kawasan ini setelah sekian lama. Walaupun tidak dinafikan, Sibuti telah banyak berubah, namun, rata-rata penduduk di sini telah menyatakan luahan hati mereka kepada PAS Sarawak tentang masih banyak masalah setempat yang belum diselesaikan dengan baik oleh wakil rakyat sedia-ada.

Menyedari hakikat dan realiti sebenar rintihan rakyat Sibuti, PAS ingin mengemukakan ‘blueprint’ khas untuk Parlimen Sibuti dalam membela nasib rakyat di sini secara sistematik dan tersusun yang kita namakan ‘WAWASAN PAS UNTUK SIBUTI’. Pelan ini akan menjadi teras perjuangan calon rakyat, Saudara Robby Tandang sekiranya beliau diberi kepercayaan oleh rakyat Sibuti untuk menjadi wakil mereka di Parlimen Malaysia kelak. 

WAWASAN PAS UNTUK SIBUTI ini meletakkan 5 fokus dalam menjadikan Sibuti sebuah kawasan yang makmur dan sejahtera untuk semua penduduk di sini tanpa mengira kaum dan agama iaitu;

1.       Pembangunan jalanraya yang sempurna di seluruh kawasan: Dalam tinjauan PAS, masih banyak kawasan khususnya kampung-kampung dan rumah-rumah panjang yang jalannya belum bertar. Semua ini menimbulkan masalah kepada rakyat di samping menyusahkan para pelajar untuk ke sekolah. Aspek ini akan diberikan fokus utama oleh PAS agar segala kemudahan jalanraya ini dapat disediakan dengan lengkap demi kepentingan rakyat Sibuti.

2.       Bekalan elektrik dan air bersih yang lengkap kepada semua penduduk: Masih ramai penduduk di Sibuti yang masih belum mendapat bekalan elektrik dan air bersih walaupun perkara ini sudah disuarakan secara berterusan kepada pihak berwajib. Secara umum, 1 daripada 3 keluarga di kawasan ini belum mendapat bekalan air bersih dan 1 daripada 4 keluarga masih belum mendapat bekalan elektrik. Pembangunan kemudahan penting ini amat perlu diperjuangkan oleh wakil rakyat Sibuti agar keperluan rakyat di sini dapat dipenuhi sebaik-baiknya.

3.       Pembangunan sekolah dan prasarana pendidikan formal yang lengkap dan sempurna di seluruh Sibuti: PAS telah menerima pelbagai maklumbalas daripada para penduduk, guru-guru dan para pelajar bahawa sekolah-sekolah utama di Sibuti bermasalah dari segi kemudahan pendidikan. Ada antaranya tiada kemudahan normal bagi sebuah sekolah di bandar-bandar. Calon rakyat kami akan memberi tumpuan penuh bagi pembangunan kemudahan pendidikan di Sibuti kerana pendidikan yang baik adalah prasyarat penting dalam menaiktaraf tahap sosio-ekonomi rakyat.

4.       Projek ‘1 Kampung, 1 PASTI’ dan menjadikan setiap premis PASTI berfungsi sebagai pusat pembangunan pendidikan yang komprehensif: Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) adalah sebuah institusi pendidikan prasekolah yang masyhur di seluruh Malaysia dalam melahirkan generasi pewaris yang cemerlang. PAS berhasrat mengembangkan PASTI di seluruh Sibuti bagi memberi perkhidmatan pendidikan prasekolah dan servis-servis pendidikan lain seperti tuisyen dan kem motivasi untuk generasi pelajar di setiap kampung di Sibuti. Institusi PASTI tidak terhad kepada masyarakat Islam sahaja, PASTI untuk masyarakat bukan Islam dinamakan Pusat Asuhan Tunas Insan juga dicadangkan agar kebaikan sistem PASTI dapat dikongsi dengan seluruh lapisan masyarakat di Sibuti.

5.       Visi ‘Miskin Sifar@Sibuti’ tanpa mengira kaum dan agama: Masalah kemiskinan di kalangan penduduk Sibuti adalah satu masalah serius yang perlu ditangani dengan komitmen tak berbelah-bahagi oleh wakil rakyat di sini. Calon rakyat kami untuk Sibuti akan memperjuangkan kebajikan rakyat termiskin di sini agar mereka dapat keluar dari belenggu kemiskinan dengan berkesan dan mengubah nasib mereka agar mendapat suatu kehidupan yang lebih baik.

WAWASAN PAS UNTUK SIBUTI adalah bukti komitmen ikhlas PAS dalam membela nasib penduduk di Sibuti agar tidak terus terpinggir dari arus pembangunan negara. Kami menyeru sokongan dan kerjasama tuan-tuan dan puan-puan yang budiman dalam memastikan masa depan yang lebih baik untuk Sibuti.

Ubah sekarang, Sibuti terbela!

No comments:

Post a Comment