Friday 25 May 2012

Robby Disambut Meriah di Bazaar Niah


19hb Mei – Saudara Robby Tandang, calon rakyat untuk Parlimen Sibuti disambut meriah oleh penduduk di Bazaar Niah sempena program ‘Bersama Rakyat’ di sana pagi tadi. Lebih 100 orang telah menghadiri majlis ‘Santai Bersama Robby’ di sebuah restoran popular di bandar ini. Turut menyerikan majlis pagi pagi tersebut ialah 2 orang anak ulama’ besar Malaysia iaitu Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz, anak lelaki Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan dan Ustaz Abdul Khalil Abdul Hadi, anak lelaki Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS.

Program ‘Santai Bersama Robby’ ini telah dihadiri oleh penduduk Sibuti dari pelbagai kaum menunjukkan sokongan padu rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat dalam menerajui perubahan di kawasan parlimen ini yang kurang mendapat perhatian BN selama ini. Dalam ucapan beliau, Robby menegaskan bahawa penduduk di Parlimen Sibuti tidak perlu takut kepada PAS walaupun ia sebuah parti Islam kerana sememangnya ajaran Islam bukanlah semata-mata untuk orang Islam sahaja tetapi untuk semua tanpa mengira kaum dan agama. “Keadilan Islam bukanlah untuk orang Islam sahaja, tetapi untuk semua”, tegas beliau.

Dalam masa yang sama, Ustaz Nik Abduh pula menegaskan bahawa rakyat di Sibuti perlu berubah untuk masa depan yang lebih cerah. “Walaupun telah lama memerintah Sarawak, BN masih gagal mengatasi masalah kemudahan asas dan kemiskinan di negeri ini walaupun Sarawak negeri kaya”, jelas beliau. “Kita perlu ubah baju, baju lama (BN) sudah berkulat, kalau dibasuh, akan terus koyak, kita kena pakai baju baru (PR)!”, tambah beliau, disambutkan tepukan gemuruh para hadirin. Ustaz Nik Abduh juga berkongsi bahawa walaupun lebih 20 tahun, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi Menteri Besar Kelantan, hanya seorang daripada 10 orang anak beliau yang mempunyai kediaman milik sendiri.”Ketua Menteri Sarawak, bagaimana pula?” tegas beliau sambil disambut teriakan, “Semua Taib rompak!” oleh hadirin.

Program “Bersama Robby” kemudiannya diteruskan dengan ‘walkabout’ ke setiap premis kedai di seluruh Bazaar Niah untuk bermesra dengan rakyat dan mengedarkan risalah penerangan PR. Penduduk yang ditemui jelas amat senang dengan calon rakyat, Saudara Robby Tandang yang mudah mesra dan ramah dengan semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.
Program yang mendapat sambutan hangat penduduk Sibuti ini diakhiri dengan jamuan makan tengahari bersama Saudara Robby di restoran yang sama dan penyampaian 10 unit Radio Free Sarawak kepada ketua-ketua kaum yang hadir pada majlis tersebut.

-Admin-

No comments:

Post a Comment